Keajaiban Sedekah
Sedekah
adalah amalan yang mulia. Sedekah dengan ikhlas akan menjanjikan
ganjaran pahala buat kita. Kerana setiap perbuatan baik akan dibalas
dengan perkara yang baik juga. Allah akan melapangkan dada, membuatkan
kita gembira, melegakan perasaan dan mensejahterkan seluruh hidup kita.
Bersedekahlah kita walau sedikit dengan seikhlasnya. Kerana, dalam
setiap rezeki dan harta yang kita miliki itu terdapat juga hak orang
lain. Jadi, adalah lebih baik jika ia dikongsi dan dinikmati bersama.
Beriman dengannya dan bersedekah seikhlasnya. Sedekah seikhlasnya mampu
meringankan beban seseorang dan menjauhkan diri kita daripada panas api
neraka.
Perkara-perkara untuk mendapat kesempurnaan dalam amalan sedekah
Dalam
amalan bersedekah, kita perlu melakukannya dengan ikhlas kerana Allah.
Bukan disebabkan nama dan balasan dikemudian hari. Bagi memastikan
sedekah kita tidak sia-sia, Islam mengajar umatnya menyumbang dan
bersedekah dengan menepati erti sedekah yang sebenar. Maka, beberapa
perkara perlu diambil kira demi kesempurnaan dalam amalan bersedekah.
Barang yang elok dan baik
Antaranya,
barang yang hendak disedekahkan itu mesti baik, elok dan tidak malu
untuk dipakai. Jika kita sendiri tidak tergamak memakainya, tidak
perlulah barang itu disedekahkan. Sedekahlah dengan barang yang disukai
penerima. Allah melarang kita bersedekah dengan barang yang tidak elok
kerana sedekah adalah ibadat dan sebagai tanda mensyukuri nikmat Allah.
Buktinya telah Allah nyatakan dalam Surah Al- Baqarah ayat 267.
Hasil yang halal
Semua
perkara atau wang yang kita sedekahkan kepada golongan yang memerlukan
mesti terdiri daripada hasil yang halal. Kerana, pemberian yang halal
akan menggugurkan dosa dan mendatangkan pahala. Selain itu juga akan
dijauhkan dari bala. Seseorang yang bersedekah dengan harta yang halal
juga akan dijauhkan daripada api neraka dan akan dimasukkan ke dalam
syurga. Sekiranya seseorang bersedekah dengan harta yang haram, dia
tidak akan memperolehi sebarang kebaikan kecuali azab kerana memberi
sesuatu yang haram kepada orang lain. Terdapat sebuah hadith mengatakan
bahawa di dalam neraka Jahanam terdapat sebuah rumah yang bernama
‘Baitul Huzni’ yang disediakan Allah bagi orang yang bersedekah daripada
harta yang haram.
Memberi sedekah barang yang disayangi
Kemudian,
adalah sunat bagi kita untuk memberi sedekah barang yang menjadi
kesayangan dan kesukaan kita tidak kira banyak atau sedikit. Allah juga
telah membuktikan perkara ini dalam Surah Al-Imran ayat 92 bermaksud,
“Kamu sekali-kali tidak akan mecapai hakikat kebajikan dan kebaktian
yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu
sayangi. Dan apa juga yang kamu dermakan maka, sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui.”
Sedekah dengan niat yang ikhlas
Sedekah
dengan seikhlas hati, bukan mengungkit, merungut, membidas dan menyakiti
hati orang yang menerima sedekah kerana perbuatan ini haram dan akan
merosakkan niat bersedekah. Dalam Surah Al-Baqarah ayat 264 bermaksud,
Allah telah membandingkan orang yang mengungkit dalam amalan sedekahnya
seperti “Batu licin yang terdapat tanah diatasnya, kemudian batu itu
ditimpa hujan lebat. Setelah hujan reda, batu itu sudah licin dan tiada
lagi tanah di atasnya. Demikian juga dengan orang yang kafir dan riak.
Mereka gagal mendapat satu ganjaran pahala daripada apa yang telah
diusahakan. Dan ingatlah bahawa Allah tidak akan memberi petunjuk kepada
kaum kafir.”
Sedekah yang tidak dihebahkan
Sedekah
yang tidak dihebahkan adalah lebih afdal. Ibarat tangan kanan yang
memberi, tangan kiri tidak mengetahuinya. Hal seperti ini akan
membuatkan keikhlasan itu sangat dekat dengan kita. Maka, kita akan jauh
dari perasaan riak yang boleh merosakkan amalan sedekah. Tidak berguna
jika niat bersedekah itu untuk mendapat pujian daripada pihak lain.
Allah juga telah memaklumkan perkara ini dalam Surah Al-Baqarah ayat 271
yang bermaksud, “Jika menampakkan sedekah kamu ini sangat baik, tetapi
jika kamu merahsiakannya dan memberikan kepada orang fakir, maka itu
lebih baik bagi kamu dan akan melepaskan kamu dari kejahatan sendiri,
Allah menyedari setiap apa yang kamu kerjakan.”
Sedekah untuk menyucikan diri dan harta
Surah
Al-Taubah ayat 103 membuktikan bahawa, “Ambil sedekah daripada harta
mereka untuk membersihkan dan menyucikan mereka, dan doakanlah mereka.
Sesungguhnya doa kau itu menjadi ketenangan hati mereka. Allah Maha
Mendengar lagi Maha Mengetahui. Ayat ini mewakili dua perkara utama
iaitu barang yang harus disedekahkan dan sebab untuk bersedekah. Sedekah
bertujuan membersihkan jiwa dan harta yang dimiliki.”
Sedekah
bukan sekadar memberi, amalan ini mempunyai banyak manfaat yang perlu
kita ketahui. Manfaat sedekah bukan hanya dirasakan oleh penerima atau
pihak yang kita beri sedekah, namun manfaat sedekah itu juga mampu kita
rasakannya. Amalan sedekah sangat digalakkan dalam Islam, kerana kita
mampu memberikan kesenangan dan kebahagiaan kepada pihak yang
memerlukan. Lebih-lebih lagi kepada golongan yang betul-betul memerlukan
bantuan. Banyak manfaat yang boleh kita perolehi dari amalan bersedekah
ini.
Manfaat sedekah
Antaranya
ialah, mengasingkan sebahagian kecil daripada harta kita untuk diberikan
kepada golongan yang memerlukan. Sekiranya beban itu semakin ringan,
kita turut merasai kebahagiannya. Manfaat bukan kerana wang dan harta
yang dikeluarkan semasa bersedekah, Adakah anda memikirkan bahawa wang
yang dikeluarkan itu mendatangkan manfaat? Sudah pasti bukan kerana wang
yang dikeluarkan. Kita harus memikirkannya untuk jangka masa yang
panjang.
Sedekah mampu memadam dosa
Pada masa
hadapan kita bakal diberikan kebaikan oleh Allah dan kita akan mendapat
ganjaran pahala daripada Allah SWT. Selain itu, kita juga akan
mengurangi dosa lama yang telah kita lakukan. Menurut Hadis Riwayat
At-Tirmizi, “Sedekah itu menghapuskan kesalahan seperti air memadamkan
api.” Senyum juga adalah sedekah. Hanya melemparkan senyuman sudah
mendatangkan pahala buat kita. Tidak perlu mengeluarkan wang dan juga
peluh. Jadi, mari kita bersedekah dan memadam dosa silam!
Sedekah mampu menghindar dari kematian Suul Khatimah
Di samping
itu, amalan bersedekah juga mampu menghindarkan kita dari kematian yang
Suul Khatimah. Suul Khatimah bermaksud kematian dalam keadaan yang
tidak beriman. Sebagai contoh, seorang yang sangat leka dengan urusan
dunia sehingga tidak bersedia untuk mati. Selain itu, orang itu juga
tidak bersedekah kerana terlalu cintakan hartanya lebih dari cintanya
kepada Allah SWT. Terdapat banyak hadith yang berkata, “Sesungguhnya
sedekah itu akan memadamkan amarah Allah dan menghindarkan diri dari
kematian yang buruk.”
Sedekah mampu menghindarkan bala
Menurut
beberapa hadith yang lain, memulakan hari kita dengan bersedekah akan
menghindarkan kejadian buruk dan tidak diingini. Jika kita tidak
mempunyai harta, doa untuk kebahagiaan peminta sedekah juga dikira.
Boleh kita katakan bahawa sedekah itu mampu menolak bencana dan bala.
Kerana kita telah bersedekah pada hari itu, Allah akan melindungi kita
sepanjang hari kita besedekah. Adakah kita mahu diberkati sepanjang
hari? Sudah pasti! Sedekah adalah pembuka amalan yang suci sepanjang
hari.
Sedekah mampu menyucikan jiwa
Sedekah
juga mampu menyucikan jiwa dan harta kita. Hati orang yang bersedekah
akan tenang dan aman. Selain itu jiwanya akan damai, bersih dan
terhindar dari perasaan yang negatif. Semua hartanya juga akan diberkati
Allah SWT. Sekiranya datang seorang peminta sedekah kepada kita, jangan
dimarahi dan ditengking golongan itu. Jangan berkelakuan jahat
dengannya walaupun sedikit. Kerana dosa menengking dan menyakiti hatinya
adalah lebih besar daripada pahala jika bersedekah dengan separuh harta
yang dimiliki. Jangan pula kita menolak orang yang mula-mula mendatangi
kita, kerana kadang-kadang mereka itu bukan manusia. Mereka mungkin jin
yang diamanahkan Allah untuk datang dan menguji kita dengan harta yang
kita miliki. Jika kita menengking, kelak kita akan ditengking oleh
Malaikat semasa hari Qiamat.
Sedekah mampu memanjangkan umur
Percayakah
anda bahawa sedekah akan memanjangkan umur kita? Kerana Allah telah
melanjutkan usia kerana amalan sedekah yang sering kita lakukan itu.
Allah sendiri telah mengatakan kepada Rasulullah bahawa sedekah memang
akan memanjangkan umur dan juga mampu menunda kematian seseorang.
Sabtu, 11 Mei 2013
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
0 komentar:
Posting Komentar